Home » General » KETUANAN PENGKHIANAT : MELAYU TIPU MELAYU

KETUANAN PENGKHIANAT : MELAYU TIPU MELAYU

MELAYU TIPU MELAYU

Suatu Pandangan

Oleh Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang
  • Sekian lama mereka melaungkan slogan “demi bangsa, demi negara demi Orang Melayu”. 
  • Tetapi mereka ini munafik. 
  • Mereka mahu elak cukai sebenarnya. 
  • Mereka hendak kekayaan berlegar pada keluarga mereka sendiri sahaja. 
  • Bukan hendak tolong orang Melayu. 
  • Mereka buka akaun syarikat-syarikat mereka,  bukan di Tanah Melayu tetapi di British Virgin Islands (BVI).
Mereka tuduh orang lain “tidak patriotik, suversif atau penderhaka”. 

Tetapi merekalah yang sebenarnya petualang kerana larikan wang dan modal secara haram ke syurga kewangan hitam tanpa cukai dan penuh rahsia di British Virgin Islands. 

Baru hari ini mulai terdedah oleh Pandora Papers.

Siapa mereka Melayu, yang hipokrit ini? 
Rupa-rupanya mereka anak-anak bekas perdana menteri dari parti-parti politik Melayu dan Bumiputera yang eksklusif, sama ada Cap Kris, Cap Bunga Raya, Cap Pejuang bangsa. 
  
  • Kasihan bangsaku Melayu, ditipu  hidup-hidup. 
  • Aku yang Melayu inipun ditipu sama. 

Sekian lama aku ingatkan betullah pemimpin-pemimpin Melayu ini memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan  dan hak-hak kedudukan istimewa Orang Melayu. 

Rupa-rupanya mereka ini ibarat “harapkan pegar; tetapi pegar makan padi.” 

Mereka gunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak istimewa Melayu itu untuk mereka mengaut keuntungan, kontrak, modal dengan pinjaman murah serta segala macam insentif, kuota, permit, lesen dan subsidi serta projek runding terus tanpa tender. Semuanya atas nama hak istimewa Melayu. 

Tetapi mereka Melayu dari kumpulan dan keluarga elit berkuasa ini seperti “kacang lupakan kulit”. Mereka bertindak macam lanun melarikan duit dan modal ke luar negara, ke British Virgin Island sana. Mereka tidak melaburkan semula kekayaan mereka di Malaysia tercinta ini. Mereka ini betul-betul macam “si Tenggang” yang derhaka kepada bangsa.
Sehingga bulan Oktober 2021 ini, puak-puak mereka ini, di Parlimen di depan mataku seorang Melayu, tanpa malu-malu, mereka masih bercakap kononnya “demi Melayu! demi Melayu!” Hipokritnya mereka ini. 

Hari ini, aku Melayu yang tidak boleh lagi ditipu mereka.

Sungguh malang dan sedih mengenangkan negaraku dan bangsaku Melayu. 

Sehingga Rancangan Malaysia ke-12 ini, kabilah-kabilah perkauman Melayu itu masih bercakap kononnya hendak naikkan peratusan equiti Bangsa Melayu. Konon! 

Kononnya “demi Keluarga Malaysia”. Konon! 

Siapa yang mereka hendak tipu? 

Orang-orang Melayu sekarang khususnya di kalangan anak-anak muda Melayu yang cerdik dan pandai, tidak termakan tipu pemimpin-pemimpin Melayu yang munafik dan hipokrit ini. 

Generasi Melayu sekarang sudah sedar. Sudah celik.

Macam mana hendak naikkan peratusan equiti Melayu jika kapitalis-kapitalis kroni Melayu ini yang dapat faedah ekonomi dan kekayaan dari dasar-dasar ekonomi membantu Melayu membawa  keluar wang dan modal dari Tanah Melayu ini sebanyak RM1.8 trilion dari tahun 2004 hingga 2014 ke pusat kewangan gelap di luar pesisir pantai seperti British Virgin Islands? 

Begitu banyak wang gelap untuk lari cukai di Malaysia di bawa oleh orang-orang kaya yang tidak patriotik seperti yang didedahkan oleh Pandora Papers sehingga Malaysia menduduki tempat kelima terburuk di dunia selepas China, Russia, Mexico dan India.

Begitu banyak wang dan modal negara ini mengalir keluar ke British Virgin Islands dan lain-lain pusat kewangan gelap di luar pesisir pantai sehinggakan Malaysia tidak ada wang dan hampir bangkrap. 

Mujurlah Malaysia masih ada minyak. Untuk menangani Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat, maka Negara terpaksa berhutang dan berhutang dan berhutang lagi sehingga paras hutang Kerajaan mencecah ceiling 65% Keluaran Dalam Negara Kasar.

Hutang kerajaan yang besar itu akan ditanggung oleh anak-anak generasi akan datang. Manakala anak-anak golongan elit negara ini termasuk anak-anak bekas tiga Perdana Menteri, dan sekitar 1500 orang lagi rakyat Malaysia yang ada akaun syarikat di British Virgin Islands boleh hidup senang lenang atas kesengsaraan rakyat negara ini.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
4 Oktober 2021 (Isnin)

My comments :

Tuan-Tuan orang Melayu cerita dia begini.

1. Melayu elit yang sapu kontrak cetak buku juga yang KONONNYA memperjuangkann bahasa Melayu. Merekalah yang paling bising melawan menentang pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Cerita sebenarnya begini : Lebih senang bagi mereka cari penulis dan penyunting buku Melayu. Upah gaji penulis Melayu pun  lagi murah. Mereka mahu sapu kontrak cetak buku sekolah. Itu saja. Bukan sebab mereka “memperjuangkan bahasa Melayu”.  Mereka mahu kontrak cetak buku.  

Bukan sebab mereka benci bahasa Inggeris atau mereka peduli sangat bahasa Melayu. Bukan. Bukan. Bukan.  Percayalah anak-anak mereka sendiri ramai yang belajar dalam bahasa Inggeris di sekolah asrama penuh, belajar overseas atau di sekolah international school. Anak Tuan-Tuan yang makin haprak. Bukan anak mereka. Mereka mahu kontrak untuk makan duit rakyat, duit kita. Mereka jadi JUTAWAN DUIT RAKYAT atau SOCIAL WELFARE MILLIONAIRE. Itu saja.

2. Mereka juga cetak kamus Melayu setiap tahun KONONNYA untuk update perkataan baru. Cuba fikir – kamus bahasa Inggeris Oxford University yang famous itu pun di update setiap lima tahun sekali sahaja. Tetapi kamus Melayu pula boleh dicetak setiap tahun. Sebab setiap tahun mereka ambil perkataan bahasa Inggeris, mereka tambah ‘gi’ atau ‘si atau ‘isma’ pada penghujung (teknologi, saikoloji. demokrasi, kleptokrasi, kapitalisma, sosialisma) dan Allahu Akbar MEREKA SUDAH MENJADI PEJUANG BAHASA MELAYU. Niat mereka simple saja – mereka hanya nahu kontrak cetak kamus Melayu setiap tahun. Siapa bayar? Tuan-tuan yang bayar sebab cetak kamus itu kontrak Kerajaan – duit kita.  Mereka jadi JUTAWAN DUIT RAKYAT atau SOCIAL WELFARE MILLIONAIRE. Itu saja.

3.  Dulu masa saya kerja di bank saya pernah memberi pinjam duit (lebih RM50 juta) kepada seorang taukeh Cina – pemaju hartanah (property developer).  Taukeh itu kata dia ‘pegang’ seorang Menteri Agama pada zaman itu (Menteri Agama itu sudah mati lama dah).  Taukeh Cina itu menjadi kontraktor yang dapat kontrak membina masjid di Kuala Lumpur.  Jadi lagi banyak masjid di bina Taukeh Cina itu pun lagi kayalah. Doa Menteri Agama itu pun dikabulkan juga sebab dia pun buat rumah banglo mahligai di Shah Alam (saya tahu rumah itu sebab jirannya ‘geng saya’). Jadi Menteri Agama itu pula lagi kuat ‘memperjuangkan agama Islam’.  Lagi banyak dia memperjuangkan agama Islam, lagi banyak lah masjid di bina di Kuala Lumpur. Lagi banyak-lah kontrak membina masjid. Tuan-tuan masjid di bina dengan menggunakan duit rakyat lah. Duit kita. Mereka pula jadi JUTAWAN DUIT RAKYAT atau SOCIAL WELFARE MILLIONAIRE dengan makan duit kita.

4.  Sapu minyak kuota bumiputera. Tuan-tuan tahu tak sebahagian daripada kekayaan minyak kita DI AGIHKAN kepada Melayu? Kurang lebih 2% pengeluaran minyak negara dikuotakan kepada ‘bumiputera oil traders’. Tetapi yang saya pernah dengar hanya satu nama saja yang terlibat dalam jual minyak kuota Melayu ini. Dan nama orang kaya ini termasuk senarai British Virgin Islands  yang tersebut di atas itu.  Mereka cap duit dengan begitu mudah sekali – sebab mereka “terpilih” mendapat kuota minyak bumiputera.   Mereka pula jadi JUTAWAN DUIT RAKYAT atau SOCIAL WELFARE MILLIONAIRE dengan makan duit kita.  Tuan-tuan dapat apa pula? 
5 Pegangan saham bumiputera 51%, syarikat bumiputera hanya boleh dijual kepada bumiputera dsbnya.  Hello Tuan-Tuan, when was the last time you bought a bumiputera company? Bila pula kali terakhir Tuan-Tuan mampu membeli syarikat bumiputera KONON.  Siapa yang ada cukup duit untuk beli syarikat ke, nak beli company ke? Orang Melayu nak beli rumah pun tak mampu.  Nak bayar bulanan untuk kereta dan motorsikal pun ramai yang tak cukup duit.  Habis siapa pula yang mampu beli saham syarikat 51% ke atau beli syarikat bumiputera ke? Mesti orang yang kaya saja. Dan TokPa pula kata syarikat bumiputera termasuk syarikat PNB / ASB.  Maksudnya melibatkan duit rakyat lagi. Duit kita. Duit bapak kita. Mereka pula jadi JUTAWAN DUIT RAKYAT dengan jual beli harta duit kita.

6.  Parti Lebai pula dapat duit percuma RM90 juta daripada Bossku. Bossku pula dihukum penjara atas tuduhan mencuri duit kita berbilion-bilion.   Dapat duit percuma RM90 juta saja Parti Lebai terus sumbang mahram dengan parti Cap Keris – KONONNYA musuh mereka dulu.  Mereka jadi jutawan dengan makan duit kita.  Tuan-tuan dapat apa pula? Dia bagi BR1M  RM500. Itu saja.

7. Jangan lupa pemegang AP.  Percayalah pemegang AP tak ramai. Dua atau tiga ribu orang kaya saja. Meraka cap duit – sapu duit buta.  Tuan-tuan bayarlah harga kereta (contohnya) sampai tiga kali harga kereta di pasaran dunia.  Taukeh AP yang jadi kaya dulu. Mereka jadi JUTAWAN DUIT RAKYAT atau SOCIAL WELFARE MILLIONAIRE dengan makan duit kita. Begitu banyak duit sampai boleh masuk tabung rahsia di British Virgin Islands. 

Jadi eloklah YB Pasir Gudang itu kongsi pendapat dia bahawa dia baru sedar bahawa orang Melayu sudah ditipu sejak berpuluh tahun oleh kaum elit Melayu yang hidup sapu duit rakyat. 

“kapitalis-kapitalis kroni Melayu ini yang dapat faedah ekonomi dan kekayaan dari dasar-dasar ekonomi membantu Melayu membawa  keluar wang dan modal dari Tanah Melayu ini sebanyak RM1.8 trilion dari tahun 2004 hingga 2014 ke pusat kewangan gelap di luar pesisir pantai seperti British Virgin Islands?” 

Inilah yang mereka ‘camouflage’ di bawah sepanduk ‘Agama, Bangsa, Negara’ dan kepala hotak bapak mereka.

Tuan-tuan sudah kena tipu. Sekarang masa depan anak-anak Tuan-tuan pun sudah hancur. Hampir TUJUH JUTA orang tak ada kerja (unemplotyed), kerja separuh masa (under employed), kerja ‘gig economy’ (food delivery, kurier delivery dsbnya). TUJUH JUTA.

Tuan-tuan orang Melayu dengar baik-baik. Siapa lagi ramai? TUJUH JUTA orang yang makin hidup susah atau  “anak-anak golongan elit negara ini termasuk anak-anak bekas tiga Perdana Menteri, dan sekitar 1500 orang lagi rakyat Malaysia yang ada akaun syarikat di British Virgin Islands”  ?

TUJUH JUTA orang yang makin susah menjadi mangsa sebilangan tersangat kecil Melayu elit yang hidup mewah dengan makan duit rakyat. 

Bangkitlah orang Melayu. Bukalah mata Tuan-Tuan. 

Wa akhirul kalam:


Surah 13:11 “..sesungguhnya Allah tidak akan merobah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka merobah apa yang ada pada diri-diri mereka sendiri..”

Kalau Tuan-Tuan tidak mahu bangkit, maka Tuan-Tuan akan tertanam saja-lah.
 
Bangkitlah dan tongsampahkan kaum elit ini dan tongsampahkan dasar-dasar penipu mereka yang hanya memangsakan dan memiskinkan rakyat marhaen.
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*